Thursday, September 13, 2007

Gempa Bumi Di Jambi Gegar Bangunan Di KL

Web6Bernama.com is reporting:

Gempa Bumi Di Jambi Gegar Bangunan Di KL


LANGKAH BERJAGA-JAGA…Sebahagian daripada kakitangan kerajaan yang bertugas di Menara TH Selborn, Jalan Tun Razak, meninggalkan bangunan sebaik merasai gegaran akibat gempa bumi kuat di Jambi selatan Sumatra pagi ini. Foto: Zainol Bidin

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Penghuni bangunan tinggi di Lembah Klang sekali lagi cemas apabila digegarkan kesan daripada gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter yang berlaku di wilayah Jambi, selatan Sumatera pagi ini, 12 jam selepas gempa kuat berukuran 8.2 SR di Bengkulu semalam.

Gempa bumi pada 6.49 pagi ini memberi kesan antaranya kepada bangunan Menara TM (Telekom) di Lembah Pantai, Menara TH Selborn di Jalan Tun Abdul Razak dan Hotel Nikko di Jalan Ampang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah berkata pihaknya menerima lebih 50 panggilan daripada orang ramai mengenai gegaran itu sejak pukul 7.55 pagi.

Sebagai langkah berjaga-jaga penghuni bangunan-bangunan terbabit telah diarah keluar dan hanya dibenarkan naik semula selepas 45 minit.

"Setakat ini keadaan terkawal dan pemantauan dari semasa ke semasa diteruskan. Pihak Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) turut membantu memeriksa bangunan terbabit bagi mengesan sebarang keretakan," katanya.

Seorang kakitangan di Menara TM ketika dihubungi Bernama berkata semua kakitangan yang berada di menara itu pada masa itu diarah keluar setelah gegaran dirasai.

"Kami rasa gegaran itu kira-kira pukul 8 pagi dan pihak keselamatan meminta kami mengosongkan bangunan. Setelah pemeriksaaan dibuat kami dibenarkan naik semula pada 9.30 pagi," katanya.

Keadaan serupa berlaku di Menara TH Selborn apabila kakitangan yang bekerja di situ merasai gegaran kira-kira pukul 7.55 pagi, yang memaksa mereka mengosongkan menara itu sementara menunggu jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tiba.

Beberapa mercu tanda seperti Menara Kembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur serta Alor Star di Kedah tidak mengalami kesan gegaran akibat gempa bumi di Jambi pagi ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Mohamad berkata: "Jurutera telah memberikan laporan kepada saya. Gempa bumi itu tidak memberi sebarang kesan kepada bahagian kepala atau di bawah menara. Keadaan di Menara KL adalah selamat."

Katanya keadaan Menara Alor Star juga selamat.

Eksekutif Perhubungan Media Petronas Riduan Zulkifli berkata keadaan Menara Kembar Petronas setinggi 88 tingkat juga selamat.

-- BERNAMA

No comments: